Sunday, 23 February 2014

sce3111 : Topik 5 (1) - Reka Bentuk & Pembinaan Ujian

5.1 Objektif Ujian

          Dalam pembinaan ujian langkah pertama ialah menentukan tujuan atau objektif ujian tersebut.  Perkara ini sangat penting kerana ia akan menentukan bagaimana jadual spesifikasi ujian akan disediakan. Dalam konteks bilik darjah, tujuan ujian dikelaskan kepada empat iaitu ujian penempatan, ujian diagnostik, ujian formatif dan ujian sumatif.

     Ujian penempatan bertujuan untuk memperoleh maklumat yang dapat digunakan untuk menempatkan murid dalam kumpulan tertentu. Ujian diagnostik pula bertujuan untuk menentukan punca masalah supaya langkah pemulihan dapat diambil dengan segera dan betul. Ujian formatif bertujuan untuk menentukan kemajuan murid serta tahap penguasaan mereka dalam pelajaran. Ujian sumatif pula mengukur pencapaian murid pada akhir tahun atau pada akhir sesuatu kursus untuk tujuan penggredan dan pemeringkatan.

            5.2 Tempoh Masa dan Jenis Ujian

        Secara umumnya terdapat dua jenis ujian berdasarkan tujuan penilaian itu dibuat, iaitu ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria. Ujian rujukan norma dijalankan bagi membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid yang lain dalam satu ujian yang sama. Ujian rujukan norma biasanya meliputi satu bidang pelajaran yang luas dan selalunya untuk penilaian sumatif.  Ia juga digunakan untuk mengukur perbezaan pencapaian individu.  Ujian ini disediakan menggunakan jadual spesifikasi ujian serta merangkumi pelbagai tahap kesukaran untuk mendapatkan diskriminasi maksimum antara calon.

          Ujian rujukan kriteria pula digunakan untuk membandingkan pencapaian dengan kriteria yang ditentukan. Ia lebih tertumpu pada tugas-tugas pembelajaran yang terhad. Bagi menyediakan ujian ini kriteria secara terperinci perlu disediakan. Taraf mutlak menentukan peringkat pencapaian calon. Ia digunakan dalam penilaian formatif iaitu untuk mengukur penguasaan sesuatu kemahiran. Peringkat kesukarannya hampir sama.

5.2.1 Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana sesuatu kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu topik yang telah dipelajari. Ujian pencapaian boleh dijalankan dalam bentuk membuat perbandingan dengan pelajar lain dalam sesuatu bilik darjah (rujukan norma) atau membuat rujukan tertentu bagi sesuatu aras dalam topik (rujukan kriteria) sesebuah dalam kurikulum. Kebanyakan pembinaan ujian pencapaian serta penskoran adalah berteraskan ujian rujukan norma. Ujian pencapaian boleh digunakan untuk mengukur aspek pencapaian akademik, attitud, siasah, minat, sikap dan sebagainya. Ujian pencapaian akademik dapat mengukur kebolehan, pengetahuan serta kemahiran pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Ujian ini dibina oleh guru dan pada peringkat institusi seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Penggubalan pada peringkat perseorangan dikenali ujian di bilik darjah. Manakala bagi pencapaian peringkat pusat dikenali sebagai UPSR, PMR, SPM, STPM dalam sebagainya.
5.2.2   Ujian Kecerdasan
Ujian kecerdasan dikenali juga ujian mental. Ujian ini cuba mengukur perbezaan di antara individu. Ujian ini banyak mengalami perubahan serentak dengan perkembangan bidang psikologi. Sejarah ujian ini bermula sejak tahun 1796. Ujian ini mula berkembang sejak Galton pada tahun 1969 apabila beliau cuba mengukur ketajaman deria, gambaran mental serta pencapaian intelektual di antara pelajar genius. Tokoh-tokoh lain yang turut terlibat dalam mengukur aspek mental termasuklah Wundt, Cattell d n Binet (Abu Bakar, 1986). Ujian kecerdasan kanak-kanak terawal ialah skala Binet-Simon.
Bagi kanak-kanak ujian kecerdasan tidak menekankan aspek kebahasaan. Ujian ini mencerminkan pengalaman pada peringkat kanak-kanak. Ujian kecerdasan memberikan bukti secara tidak langsung tentang potensi yang ditunjukkan murid-murid berdasarkan prestasinya. Ujian ini kerap digunakan untuk membuat telahan pencapaian di sekolah atau institusi pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan lain seperti Ujian IQ, Skala Stanford-Binet, Weschler, Ujian Lorge-Thorndike dan lain-lain.
5.2.3 Ujian Prestasi
Ujian prestasi memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai tambahan kepada menjawab soalan. Penekanan yang diberikan tertumpu kepada kebolehan murid-murid melakukan sesuatu tugasan yang diberi berbanding hanya menjawab soalan sahaja. Hal ini kerana maklumat personaliti seseorang tidak bernilai jika dia menyedari bahawa dia sedang dinilai. Dengan itu dia akan melakukan dengan sebaik yang mungkin. Dalam konteks ujian prestasi, tidak ada gerak balas boleh dianggap sebagai `baik’. Misalnya tidak ada ukuran baik atau buruknya minat seseorang itu pada dunia perladangan. Individu yang berminat boleh meneruskan ladang dan sebaliknya boleh memilih bidang lain yang bersesuaian dengan minatnya.
Pada umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Guru bebas menggunakan apa sahaja kaedah seperti pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat pelajar. Pemerhatian boleh dilaksanakan semasa murid melaksanakan tugas yang diberikan, misalnya perbincangan kumpulan, peranan murid dalam aktiviti. Manakala melalui laporan kendiri pelajar sendiri menilai diri sendiri melalui soal selidik tertentu yang menilai peribadi diri.
 5.2.4 Ujian Diagnostik
Ujian ini mengenal pasti sesuatu perkara atau masalah yang berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran dan menentukan punca-punca yang menyebabkan masalah berkenaan berlaku. Pentadbiran ujian ini bertujuan untuk menentukan kedudukan murid dalam pelajarannya dan mengenal pasti sebab-sebab berlakunya kelemahan murid dalam pembelajarannya. Apabila sesuatu sebab dapat dikenal pasti maka tindakan selanjutnya dalam merancang dan memulihkan keadaan yang berlaku dapat dilaksanakan.
Ciri-ciri ujian diagnostik termasuklah ujian tidak memberikan skor atau gred kepada murid. Disebabkan ujian ini untuk memperbaiki kelemahan tertentu, maka ujian ini dilaksanakan pada masa pengajaran dan pembelajaran masih berjalan bukan pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat daripada ujian dalam ujian ini diterjemahkan dalam bentuk profil individu berasaskan skor tentang aspek-aspek pembelajaran. Profil yang dibuat dapat memperlihatkan kepada guru tentang aspek yang belum dikuasai sepenuhnya oleh murid-murid. Contoh ujian diagnostik seperti ujian menilai bacaan murid yang bertujuan mengenal pasti kemahiran murid untuk mengenal huruf dan menyebut huruf.
Ujian ini penting kerana ia dapat mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan peluang kepada guru untuk menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid berkenaan. Di samping mengadakan secara formal iaitu melibatkan pensel dan kertas, ujian ini juga boleh dijalankan secara soal jawab, inventory, pemerhatian dan tugasan dari semasa ke semasa.
5.2.5 Ujian Kecekapan
Ujian kecekapan ialah ujian yang digunakan oleh seseorang guru untuk menguji kebolehan atau kecekapan seseorang murid atau calon dalam melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti yang diberikan. Lazimnya ujian ini melibatkan penggunaan instrumen yang konkrit seperti penggunaan gambar dan radas serta tidak semata-mata tertumpu kepada aspek bahasa dan pensel-kertas melainkan sewaktu mendapatkan arahan. Contoh ujian kecekapan seperti ujian pada peringkat pra-persekolahan dengan meminta murid mencantum-cantumkan perkataan dengan gambar yang diberikan atau membina semula gambar dengan lengkap daripada potongan-potongan gambar yang diberi atau menjalankan uji kaji menggunakan radas tertentu.
5.2.6 Ujian Bakat
Ujian yang dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon. Suatu waktu dahulu bakat dikenal sebagai kebolehan istimewa semulajadi yang dimiliki oleh seseorang individu. Pada umumnya ujian bakat dapat dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu: (i) ujian bakat yang berasaskan kajian secara besar-besaran. Misalnya pada tahun 1930, kajian yang dijalankan oleh Universiti Minnesota tentang bakat mekanikal; dan (ii) ujian bakat yang berasaskan kepada tujuan sesuatu ujian itu dijalankan bagi keperluan tertentu.
Pada umumnya, ujian ini memberikan maklumat asas dalam membuat telahan prestasi masa depan calon. Ujian ini lazimnya digunakan untuk pemilihan calon melakukan pekerjaan tertentu, kemasukan ke program latihan, permohonan biasiswa dan sebagainya. Ujian ini juga digunakan bagi tujuan mengelompokkan individu dalam kumpulan tertentu mengikut kebolehan calon atau individu. 
5.2.7 Ujian Personaliti
Ujian personaliti ialah ujian yang disediakan untuk mengenal pasti potensi diri, personaliti, tahap kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang yang diukur melalui alat-alat (instrumen psikologi) yang berbentuk ujian, inventori, indikator dan indeks. Contoh ujian personaliti seperti Ujian Keirsey Temperament.

Sunday, 16 February 2014

sce3111 : Topik 3 - Alat-alat Pentaksiran



3.0       Alat-alat Pentaksiran


3.1       Portfolio
Portfolio pelajar adalah dokumen yang merupakan koleksi bukti-bukti yang disediakan oleh pelajar untuk menunjukkan penguasaan, kefahaman, aplikasi dan sintesis konsep-konsep sains. Pentaksiran menggunakan strategi portfolio mengambil masa yang agak lama namun dapat memberi ruang kepada pelajar untuk mendalaminya. Bagi menyediakan portfolio yang berkualiti pelajar perlu menyusun, sintesis dan menerangkan dengan jelas apa yang telah dipelajari. Oleh itu portfolio merupakan refleksi pelajar keatas proses pembelajaran mereka sendiri.


3.2       Sampel kerja pelajar

Hasil kerja pelajar boleh digunakan sebagai alat pentaksiran. Antara hasil kerja pelajar yang boleh digunakan sebagai bukti pembelajaran pelajar dan dinilai ialah;

a.         Jurnal

Jurnal pembelajaran adalah koleksi nota, pemerhatian, pemikiran dan bahan yang relevan dimana telah dibina dalam satu jangka masa tertentu.Jurnal pembelajaran membantu pelajar membuat refleksi pembelajaran dan berpeluang untuk berkomunikasi mengenai proses berfikir tentang apa yang telah dilakukan. Ia adalah bersifat peribadi kepada pelajar berkenaan dan menggambarkan personaliti, kecenderungan dan pengalaman seseorang pelajar.

b.         Buku Nota

Bahan-bahan pembelajaran samada yang disampaikan oleh pelajar atau dicari sendiri oleh pelajar dikumpul sebagai nota subjek. Berdasarkan buku nota tersebut penilaian boleh dilakukan dari aspek adakah nota itu lengkap, merangkumi semua topik dan maklumat yang detail. Persembahan nota juga boleh dinilai samada tersusun, menggunakan pengurusan grafik, jelas dan menarik 

c.         Laporan amali

Laporan amali adalah satu laporan berformat yang dibuat selepas selesai sesuatu sesi amali atau penyiasatan sains. Kandungan laporan amali adalah terdiri dari tujuaneksperimen, prosedue, keputusan dan perbincangan. Laporan amali berfungsi sebagai alat yang efektif dalam usaha memberi makna kepada apa yang telah dilakukan oleh pelajar semasa sesi amali.


d.         Peta Konsep 

Otak manusia boleh diibaratkan sebagai hutan di mana terdapat puluhan ribu pohon dengan ratusan ribu cabang besar, jutaan dahan dan ranting. Peta konsep dibuat dengan cara yang sama seperti pohon yang mempunyai cabang-cabang dan ranting. Dalam menyusun peta konsep otak kiri dan otak kanan dilibatkan. Ketika informasi baru diserap dengan menggunakan peta-peta konsep, kapasiti penyimpanan akan meningkat.Peta konsep atau peta pembelajaran adalah cara dinamik untuk menangkap fakta-fakta utama informasi yang signifikan. Mereka menggunakan format global atau umum, yang memungkinkankan informasi ditujukan dalam cara mirip seperti otak kita berfungsi dalam pelbagi arah secara serentak. Dengan demikian, proses menyajikan dan menangkap isi pelajaran dalam peta-peta konsep mendekati operasi asas dalam berfikir tentang suatu subjek secara global dan memungkinkan keluwesan  pemikiran .

e.         Projek

Kaedah projek yang diasaskan oleh John Deney, menggalakkan pelajar mempelajari sesuatu melalui pengalaman, permerhatian dan percubaan. Biasanya kaedah ini memberi peluang kepada pelajar menggunakan kemudahan alat deria mereka untuk membuat pengamatan dan penanggapan secara berkesan. Kaedah ini member peluang kepada pelajar untuk menunjukkan kreativiti, imaginasi dan bakat mereka dalam menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh guru mengikut cara mereka sendiri. Pelajar merasa seronok menjalankan ujikaji aktiviti lain yang dilakukan dalam situasi sebenar dan bermakna.





3.         Aktiviti bilik darjah  

Aktiviti-aktiviti dalam bilik darjah seperti pembentangan, perbincangan, dan sumbang saran dapat dijadikan sebagai alat pentaksiran melalui pemerhatian oleh guru atau penilaian rakan sebaya.  Untuk tujuan pelaksanaan pentaksiran guru perlu bersedia untuk membuat pemerhatian denganmembuat keputusan tentang jenis tingkahlaku, tindakan, dan kemahiran yang ingin diperhatikan. Masalah yang mungkin timbul dalam penilaian berdasarkan pemerhatian adalah  unsur  subjektif ketidakadilan.  Masalah ini sebenarnya tidak akan timbul sekiranya tingkahlaku yang ingin diperhatikan diberi definisi secara objektif dan boleh dilihat sebagai ada atau tiada.  Sebagai satu panduan dalam menggunakan kaedah pentaksiran ini, berikut adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan ialah dengan memahami asas pemerhatian dan membezakan di antara tingkahlaku yang subjektif dobjektif. Pemerhati juga perlu  membezakan di antara deskripsi dan membuat inferens. Supaya lebih tekal dan sistematik  pemerhati perlu  menyediakan borang pemerhatian untuk merekod kekerapan sesuatu tingkahlaku, tindakan, dan kemahiran itu timbul.




4. Ujian kertas pensel.

Pentaksiran menggunakan alat ujian kertas dan pensel amat popular untuk mendapat maklumbalas atau data mengenai prestasi pelajar. Ujian boleh dibina samada ujian objektif atau ujian subjektif. Penggunaan ujian gemar digunakan oleh penilai kerana ia boleh digunakan dalam jangka masa yang singkat dan mudah dikendalikan. Cabaran utama penggunaan alat ini ialah dalam pembinaan item ujian samada objektif dan subjektif. Soalan-soalan yang dibina perlu berkualiti, menepati sukatan pelajaran dan memenuhi dari aspek kesahan dan keboleh percayaan.